Friday 7 June 2013

Wildcard Kedua Hafizh Di Catalunya


Pelumba muda negara, Hafizh Syahrin Abdullah menerima tiket wildcard kedua pada pusingan keenam perlumbaan MotoGP Dunia pada Grand Prix Sepanyol di Litar Catalunya, Sepanyol pada 14 hingga 16 Jun ini.
Pelumba Petronas Raceline itu berkata beraksi di litar Catalunya adalah peluang yang ditunggu-tunggunya selama ini dan optimis akan menggunakan pengalaman di Barcelona untuk mempamerkan perlumbaan cemerlang.
“Saya sememangnya menantikan cabaran ini. Barcelona sudah dianggap seperti rumah kedua saya manakala Litar Catalunya pula seperti litar halaman sendiri yang kedua untuk saya. Jika di Le Mans (Perancis) kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan litar, di Catalunya pula situasinya agak berbeza kerana pasukan kami sememangnya berlatih di sini.
“Apa yang lebih penting ialah kami sudah mempunyai data yang cukup berkaitan litar ini. Dengan segala maklumat sedia ada, saya percaya kami dapat melakukan persiapan secukupnya menjelang hari perlumbaan sebenar nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perlumbaan di Catalunya merupakan aksi kedua Hafizh sebagai pelumba wildcard pada tahun ini selepas beraksi di Le Mans, Perancis, bulan lepas.
Pada aksi di Litar Le Mans, Hafizh Syahrin hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 kerana jentera yang digunakannya mengalami masalah klac patah setelah terjatuh pada pusingan pertama perlumbaan.
“Di Catalunya, kami masih realistik dengan mengekalkan sasaran untuk sayansekurang-kurangnya dapat mengutip mata kejuaraan,” katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment